Wednesday 29 June 2011

Sejarah Bola Sepak Malaysia

SEBELUM terbentuknya Malaysia, pasukan bola sepak negara dikenali sebagai pasukan Malaya. Pasukan ini amat digeruni dan muncul antara pasukan terkuat di rantau Asia pada awal 1950-an sehingga 1960-an ketika era Datuk Ghani Minhat.

Pencapaian terbaik Malaya ketika itu ialah memenangi pingat gangsa pada Sukan Asia 1962 di Jakarta, Indonesia setelah menewaskan Vietnam Selatan 4-1. Selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, pasukan ini dikenali sebagai pasukan bola sepak Malaysia.

Kegemilangan pasukan negara berterusan selepas pembentukan Malaysia. Malaysia berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1972 di Munich. Dua tahun kemudian, Malaysia mengulangi pencapaian pada 1962 apabila sekali lagi memenangi pingat gangsa pada Sukan Asia 1974 di Tehran.

Ketika inilah lahirnya legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari yang mempunyai rekod 125 gol daripada 167 penampilan antarabangsa.

Mohktar atau nama gelarannya Supermokh mula mewakili negara pada Pestabola Merdeka tahun 1972 sebelum membuat penampilan terakhir ketika Malaysia menentang Korea Selatan pada saingan Pra Piala Dunia tahun 1985.

Namun, bagi pasukan kebangsaan, rekod cemerlang terus dilakar apabila layak berturut-turut ke Piala Asia pada 1976 dan 1980. Selepas itu, Malaysia sekali lagi mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, namun kerajaan Malaysia memboikot temasya tersebut kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Kegemilangan dan kecemerlangan pasukan negara bagaimanapun tercemar pada tahun 1994 ekoran berlakunya skandal rasuah terbesar yang melibatkan ramai pemain utama selain pasukan gergasi negara.

<<< gantang.wordpress.com >>>

No comments:

Post a Comment