Tuesday 21 June 2011

Berkesankah MOM dalam membangunkan sukan negara

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) baru saja mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan tanpa mencetuskan apa– apa polemik seperti yang berlaku pada pemilihan yang lalu, di mana jawatan presiden MOM hendak dicabar oleh Datuk Seri Shahidan Kassim.

Walaupun beliau membatalkan hasrat berkenaan tetapi buat beberapa ketika suasana menjelang pemilihan jawatan MOM mendapat laporan akhbar yang agak meluas.

Pemilihan yang baru lalu berlangsung tanpa diganggu oleh calon–calon yang ingin mencabar jawatan utama MOM, khususnya jawatan Presiden atau jawatan Setiausaha Kehormat yang merupakan dua jawatan penting yang boleh mencorakkan hala tuju MOM.

Hanya penyandang jawatan Timbalan Presiden yang awal–awal lagi menyatakan tidak lagi mahu mempertahankan jawatan ini, penyandang jawatan yang lain semuanya mahu mempertahankan kedudukan masing–masing.

Empat muka baru telah dipilih untuk mengisi jawatan naib presiden, bendahari kehormat serta jawatan Penolong Setiausaha. Yang lainnya adalah muka lama.

Sebenarnya sebelum saya bersara kira–kira enam tahun lalu, saya ditawarkan untuk bertanding dalam salah satu jawatan Naib Presiden.

Namun demikian saya menolaknya oleh kerana saya kurang berminat untuk terlibat secara aktif dalam organisasi sukan selepas persaraan.

Beberapa tahun selepas itu, saya dicadangkan bertanding jawatan Setiausaha Kehormat yang disandang oleh Datuk Sieh Kok Chi.

Ada pihak yang kurang senang dengan beliau dan berpandangan bahawa saya calon yang sesuai untuk menentang dan merebut jawatan tersebut.

Saya juga menolak cadangan tersebut walaupun sudah ada pencalonan.

Saya ada ditanya mengapakah kerap berlaku pergeseran antara MSN sebuah organisasi kerajaan dengan MOM, yang merupakan badan induk persatuan sukan kebangsaan negara kita.

Ada tiga model yang terdapat di dunia ini yang telah ataupun yang masih dipraktis oleh negara–negara dalam memajukan sukan masing–masing.

Majlis atau Jawatankuasa Olimpik wujud untuk mengurus pembangunan sukan negara masing–masing dengan peranan aktif ahli gabungannya yang terdiri dari persatuan sukan kebangsaan.

Kerajaan tidak memainkan peranan aktif dan tidak ada kementerian yang bertanggungjawab mengenai sukan. Ada negara di mana Majlis Olimpiknya hanya memenuhi syarat kewujudannya dan semua urusan membangunkan sukan di negara berkenaan diuruskan oleh kerajaan.

Ada negara pula memberi peranan kepada Majlis Olimpik masing–masing bersama–sama dengan organisasi kerajaan dalam membangunkan sukan.

Negara kita adalah merupakan salah satu daripada negara–negara yang sedemikian.

-Utusan Malaysia Online-

1 comment:

  1. salam ...tambah la lagi info2 yg boleh d jadikan panduan...semoga berjaya....hehehe

    ReplyDelete