Wednesday 29 June 2011

Sejarah Bola Sepak Malaysia

SEBELUM terbentuknya Malaysia, pasukan bola sepak negara dikenali sebagai pasukan Malaya. Pasukan ini amat digeruni dan muncul antara pasukan terkuat di rantau Asia pada awal 1950-an sehingga 1960-an ketika era Datuk Ghani Minhat.

Pencapaian terbaik Malaya ketika itu ialah memenangi pingat gangsa pada Sukan Asia 1962 di Jakarta, Indonesia setelah menewaskan Vietnam Selatan 4-1. Selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, pasukan ini dikenali sebagai pasukan bola sepak Malaysia.

Kegemilangan pasukan negara berterusan selepas pembentukan Malaysia. Malaysia berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1972 di Munich. Dua tahun kemudian, Malaysia mengulangi pencapaian pada 1962 apabila sekali lagi memenangi pingat gangsa pada Sukan Asia 1974 di Tehran.

Ketika inilah lahirnya legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari yang mempunyai rekod 125 gol daripada 167 penampilan antarabangsa.

Mohktar atau nama gelarannya Supermokh mula mewakili negara pada Pestabola Merdeka tahun 1972 sebelum membuat penampilan terakhir ketika Malaysia menentang Korea Selatan pada saingan Pra Piala Dunia tahun 1985.

Namun, bagi pasukan kebangsaan, rekod cemerlang terus dilakar apabila layak berturut-turut ke Piala Asia pada 1976 dan 1980. Selepas itu, Malaysia sekali lagi mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, namun kerajaan Malaysia memboikot temasya tersebut kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Kegemilangan dan kecemerlangan pasukan negara bagaimanapun tercemar pada tahun 1994 ekoran berlakunya skandal rasuah terbesar yang melibatkan ramai pemain utama selain pasukan gergasi negara.

<<< gantang.wordpress.com >>>

Nani tak akan tinggalkan Manchester United

SINGAPURA: Pemain sayap Manchester United, Nani menegaskan dia ‘tidak akan ke mana-mana’ walaupun dengan kehadiran pemain antarabangsa England, Ashley Young ke Old Trafford.

Pemain Portugal berusia 24 tahun itu berkata dia akan bekerja keras mencari tempat dalam kesebelasan pasukan juara Liga Perdana Inggeris itu selepas Young berpindah ke kelab berkenaan dengan nilai AS$25 (RM75 juta), minggu lalu.

“Sudah pasti saya tidak akan ke mana-mana,” kata Nani kepada akhbar Straits Times semasa lawatan ke Singapura. “Saingan mencari tempat dalam pasukan akan bertambah hebat dan dengan kelab seperti United anda harus lebih waspada dan dahagakan lebih banyak trofi.”
Kehadiran Young sudah mencetus spekulasi mengenai masa depan Nani selepas dia dikaitkan dengan Real Madrid dan Inter Milan.

Pemain lincah itu berkata dia belum berbincang mengenai peranannya bagi musim baru dengan pengurus pasukan, Alex Ferguson yang kini dalam proses membina pasukan selepas tewas kepada Barcelona 3-1 dalam final Liga Juara-Juara Eropah, minggu lalu.

“United mengerti apa yang baik untuk pasukan selepas mereka mendapatkan tandatangan Young,” kata Nani.

<<< www.arenabolasepak.com >>>

Tuesday 21 June 2011

Berkesankah MOM dalam membangunkan sukan negara

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) baru saja mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan tanpa mencetuskan apa– apa polemik seperti yang berlaku pada pemilihan yang lalu, di mana jawatan presiden MOM hendak dicabar oleh Datuk Seri Shahidan Kassim.

Walaupun beliau membatalkan hasrat berkenaan tetapi buat beberapa ketika suasana menjelang pemilihan jawatan MOM mendapat laporan akhbar yang agak meluas.

Pemilihan yang baru lalu berlangsung tanpa diganggu oleh calon–calon yang ingin mencabar jawatan utama MOM, khususnya jawatan Presiden atau jawatan Setiausaha Kehormat yang merupakan dua jawatan penting yang boleh mencorakkan hala tuju MOM.

Hanya penyandang jawatan Timbalan Presiden yang awal–awal lagi menyatakan tidak lagi mahu mempertahankan jawatan ini, penyandang jawatan yang lain semuanya mahu mempertahankan kedudukan masing–masing.

Empat muka baru telah dipilih untuk mengisi jawatan naib presiden, bendahari kehormat serta jawatan Penolong Setiausaha. Yang lainnya adalah muka lama.

Sebenarnya sebelum saya bersara kira–kira enam tahun lalu, saya ditawarkan untuk bertanding dalam salah satu jawatan Naib Presiden.

Namun demikian saya menolaknya oleh kerana saya kurang berminat untuk terlibat secara aktif dalam organisasi sukan selepas persaraan.

Beberapa tahun selepas itu, saya dicadangkan bertanding jawatan Setiausaha Kehormat yang disandang oleh Datuk Sieh Kok Chi.

Ada pihak yang kurang senang dengan beliau dan berpandangan bahawa saya calon yang sesuai untuk menentang dan merebut jawatan tersebut.

Saya juga menolak cadangan tersebut walaupun sudah ada pencalonan.

Saya ada ditanya mengapakah kerap berlaku pergeseran antara MSN sebuah organisasi kerajaan dengan MOM, yang merupakan badan induk persatuan sukan kebangsaan negara kita.

Ada tiga model yang terdapat di dunia ini yang telah ataupun yang masih dipraktis oleh negara–negara dalam memajukan sukan masing–masing.

Majlis atau Jawatankuasa Olimpik wujud untuk mengurus pembangunan sukan negara masing–masing dengan peranan aktif ahli gabungannya yang terdiri dari persatuan sukan kebangsaan.

Kerajaan tidak memainkan peranan aktif dan tidak ada kementerian yang bertanggungjawab mengenai sukan. Ada negara di mana Majlis Olimpiknya hanya memenuhi syarat kewujudannya dan semua urusan membangunkan sukan di negara berkenaan diuruskan oleh kerajaan.

Ada negara pula memberi peranan kepada Majlis Olimpik masing–masing bersama–sama dengan organisasi kerajaan dalam membangunkan sukan.

Negara kita adalah merupakan salah satu daripada negara–negara yang sedemikian.

-Utusan Malaysia Online-

Buru gol awal - Khairul Fahmi

SEPANG - Malaysia perlu memburu gol awal bagi memastikan keadaan lebih selesa dan tidak tertekan pada perlawanan timbal balik menentang Lebanon pada pusingan kedua Kelayakan Olimpik di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Ketua pasukan, Khairul Fahmi Che Mat mahu semua rakan sepasukan mencari gol awal sekiranya ingin melayakkan diri ke pusingan ketiga saingan bola sepak Sukan Olimpik 2012.

Katanya, skuad negara di bawah bimbingan Ong Kim Swee sudah bersedia mengasak kubu lawan dan pertahankan gawang gol habis-habisan, selepas seri tanpa jaringan dengan Lebanon di Beirut, Ahad lalu.

"Saya dan rakan sepasukan bertekad mahu memburu kejayaan menentang Lebanon di gelanggang sendiri," katanya.

Skuad negara tiba dari Beirut di Lapangan Terbang Antabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Khairul Fahmi, yang juga penjaga gol berkata, mereka berharap tidak akan menghampakan semua penyokong negara dan layak ke pusingan ketiga nanti merupakan hadiah kepada seluruh rakyat Malaysia.

Beliau berharap semua peminat bola sepak tempatan akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberi semangat serta sokongan kepada skuad negara.

Perlawanan esok bermula pukul 8.45 malam.

Skuad Bawah 21 negara melangkah ke pusingan kedua kelayakan Sukan Olimpik selepas menewaskan Pakistan dengan agregat 2-0 pada Mac lalu. - Bernama

Friday 10 June 2011

Kepentingan Senaman


Setiap orang tahu senaman boleh melaraskan peredaran darah, membakar lemak dan kalori, serta mengurangkan risiko masalah serangan jantung dan obesiti serta beberapa penyakit lain. Kini beberapa bukti telah menunjukkan bahawa senaman selama 10 minit setiap hari boleh meningkatkan tahap kesihatan mental, seterusnya membolehkan kita berfikir dengan mudah, rasa gembira dan mengurangkan stress.

Senaman yang konsisten boleh meningkatkan tindakbalas masa (reaction time), konsentrasi, kreativiti dan keupayaan mental. Ini kerana berlakunya peningkatan dalam tubuh untuk mengepam darah menghantar oksigen ke saluran darah dan dihantar dengan cepat ke otak. Pengkaji percaya perubahan tersebut merangsang reaksi fizikal dan mental dengan cepat.

Dengan hanya melakukan aktiviti yang mudah seperti berjalan-jalan setiap hari sebagai amalan boleh menghalang tahap penurunan mental dikalangan wanita yang berumur 65 tahun ke atas. Lagi lama dan kerap mereka berjalan, semakin perlahan proses tersebut berlaku. Sesi ini tidak perlu dilakukan secara intensif kerana ia sudah memadai untuk meningkatkan kesihatan jantung.

William P Morgan dari University of Wisconsin mendapati senaman boleh mengurangkan stress dan mengawal perasaan marah. Alasannya mudah sekali, jika terlalu memikirkan masalah akan memberi kesan gangguan pada jantung. Dengan senaman kita akan melupakan masalah-masalah tersebut di samping meningkatkan tahap kesihatan kardiovaskular, menjadikan kita lebih rasional menangani masalah sekaligus mengurangkan stress. Sebagai contoh melakukan aktiviti seperti berjalan, berbasikal dan berenang boleh mengurangkan tekanan dan aktiviti ini memberi kesan yang serupa seperti kita beryoga.

Secara saintifiknya aktiviti yang dilakukan ini sebenarnya boleh meningkatkan kimia seperti adrenalin, serotonin, dopamin dan endorphin di dalam otak. Anda akan rasa seronok, tenang dan berkeyakinan. Dipresi juga dapat dikurangkan dengan melakukan aktiviti senaman selama 30 minit 3 kali seminggu. Selain daripada rasa sihat, kuat dan bertenaga, senaman juga boleh meningkatkan keyakinan (self esteem).